Duabelas
Ada sesuatu yang kau perlu tahu, wahai hujan malam. Sesuatu yang mungkin kau tak tahu, tapi aku rasa kau perlu tahu. Aku tak pasti sama ada ini adalah masa yang terbaik untuk mendedahkannya, atau tidak. Soal masa amat subjektif. Dan, maksud 'terbaik' boleh saja berubah menjadi 'terburuk' pada bila-bila. Jadi, mungkin tak ada masa yang terbaik untuk aku memberitahu kau, bahkan jika ia akan kau anggap sebagai hal yang langsung tak ada baiknya, macam mana pula ia bisa punya masa terbaik? Mungkin ia akan buat kau rasa khuatir --aku cuma mengagak; mungkin juga kau tidak-- dan sebenarnya aku lebih merasa khuatir; amat takut jika kau akan berasa begitu. Sebab, bila ianya melibatkan masa depan --jangka pendek atau jangka panjang, keduanya sama: tak ada kepastian--, aku tahu ia akan buat kau berfikir. Berfikir tentang diri kau sendiri. Dan, mungkin tentang kita. Tapi, setidaknya, aku harus jujur; jujur pada kau yang hidup aku buat masa ini tidak bisa menjanjikan kau hidup yang senang. Aku anggap diri aku seorang yang bebas, free will. Dan, aku lebih suka jalani hidup mengikut alirannya, tanpa ada rancangan. Aku buat apa yang aku suka, dan aku cuba berusaha untuk dapatkan apa yang aku nak. Dulu, ia tak pernah jadi soal; aku tak pernah takut pada kehidupan seperti ini, kerana aku tahu, kalau kesusahan itu ada, ia cuma untuk aku seorang saja. Tapi, bila hidup aku ini adalah untuk kau, ia menjadi satu persoalan yang besar. Menjadi satu tanda tanya; yang aku selamanya akan takut untuk tahu jawab dari kau: orang yang aku ambil berat.
Sepuluh
Kadangkala aku rasa kita tak mungkin bersama. Setiap kali ada benda berlaku, aku meletakkan diri pada satu keadaan yang terbawah. Dengan meletakkan segala beban masalah yang terjadi pada diri, aku rasa aku diperosok di dalam jurang yang paling dalam. Dan, paling gelap. Masalah itu mungkin bukan satu masalah pada lahirnya, cuma situasi yang menyukarkan. Atau situasi yang aku tidak tahu hujung pangkal titik tolaknya. Tapi, ia tetap melelahkan. Dalam situasi yang entah di mana silapnya, aku seolah telah tenggelam dalam ombak besar yang menelan dan dengan kau yang masih berpijak di daratan kenyataan, aku pula di lambung oleh ombak-ombak fantasi prapasti. Dan jadilah kita terpisah di dua dunia yang berbeza, di mana senario kes terburuk adalah aku lemas dibaham lautan fantasi itu tanpa kau tahu. Sememang selama ini semua yang aku rasa dan yang aku lalui adalah diluar tahu kau, kerana aku menyembunyikannya. Cuma sampai bila? Soal kita berada di dua dunia -kau di daratan dan aku di lautan-, itu adalah kenyataan masa ini. Dan, ini bukan salah sesiapa. Bukan salah kau, bukan salah aku, bukan salah massa, jauh sekali dari salah Tuhan. Ini adalah pilihan kita. Tapi, bila aku memilih untuk kekal di lautan tapi pada masa yang sama tak mahu berhenti dari mengharapkan cinta dari daratan, siapa yang layak berkata bahwa ia tak bisa dicapai? Siapa?
Sembilan
Aku tak tahu yang aku patut percaya sekarang. Apakah ini sememangnya takdir atau kebetulan saja. Bila teknologi -yang sepatutnya mendekatkan jurang aku dan kau- tiba-tiba seperti menjadi Judas dan mengkhianati tugasnya, aku buntu. Aku rasa terpisah jauh------------jauh dari kau. Walhal, itu memang kenyataannya: kita memang terpisah jauh. Mungkin aku meletak harap yang teknologi boleh menidakkan kenyataan itu, dan bila saja beberapa pesanan teks-ku tidak dibalas kau, aku terus rasa tak keruan. Untuk seorang pesimistik seperti aku, beroptimisme dalam hal sebegini bukanlah satu kebiasaan. Aku lebih cenderung untuk beranggap yang terburuk, dan kerana itulah harapan yang aku letakkan tak selalunya tinggi; kerana aku takut ia akan jatuh dan pecah berderai tak berupa lagi. Setiap detik yang melintas aku perlakukan dengan menoleh ke masa belakang. Mencari, kalau ada, titik kesilapan yang telah aku lakukan, hingga membawa pada hal sekarang. Mencari, kalau ada, sebab untuk kau tidak menyukai aku. Dan, di situ, aku sedar sesuatu: bahwa 'sebab' itu mungkin tiada. Malah, 'sebab' itu mungkin tak diperlukan untuk kau suka atau tidak sukakan aku. Ia berlaku kerana ianya perlu berlaku. Lalu, persoalan sama ada aku patut percaya bahwa ianya takdir atau kebetulan, kini jadi tak penting lagi.
Lapan
Lewat tiga hari ini, aku tidak di kolej, tidak di kampung halaman, tapi merempat di rumah seorang kawan. Di kesiangan hari, apabila seisi rumah ini keluar bekerja, aku tinggal berseorangan. Yang menemani adalah bekalan beberapa buah buku yang aku bawa bersama. Aku habiskan hari-hari di sini dengannya. Baris-baris ayat dalam karya-karya hebat ini tak putus-putus melipurkan seribu cerita pada setiap kali aku membacanya. Dan, di kejap ketika aku melepaskan buku dari tangan, aku menghendap dunia luar di celah tingkap. Dari tingkat dua puluh ini, yang tampak hanyalah aturan bangunan batu yang mencanak sama tinggi, barisan kendera-kendera yang tersusun di parkir di tepi bangunan, dan deruan-deruan kuda-kuda besi yang dipacu laju di tengah lebuh raya. Dari saat ke saat, minit ke minit, jam ke jam, hari ke hari, segalanya tetap saja pemandangan yang sama. Lalu, aku capai pen dan kertas, dan aku tuliskan:
aku bayangkan kau ada/di sini,/di sisi aku./mendamaikan diam/menemani sepi./dan kita,/-masing-masing,/dengan buku di tangan,/dengan mulut bisu-/asyik berbicara;/tentang kita, tentang mereka,/tentang cinta, tentang hampa,/tentang dunia, tentang segalanya,/walau tiada kata yang terucap./tapi,/tetap saja kau ada/di sini,/di sisi aku.
aku bayangkan kau ada/di sini,/di sisi aku./mendamaikan diam/menemani sepi./dan kita,/-masing-masing,/dengan buku di tangan,/dengan mulut bisu-/asyik berbicara;/tentang kita, tentang mereka,/tentang cinta, tentang hampa,/tentang dunia, tentang segalanya,/walau tiada kata yang terucap./tapi,/tetap saja kau ada/di sini,/di sisi aku.
Tujuh
Kau tahu tak, di waktu ini, setiap nafas yang melepasi rongga hidung dirasakan terlalu berat untuk aku lepaskan. Terlalu berat dan terlalu berharga. Aku cuba menahan nafas, memperlahankan kadar hirup-hembusku, tak mahu untuk membazirkan walau sedikit nafasku. Seolah-olah, itu akan bisa menghentikan masa atau, sekurangnya, memperlahankan barang sesaat dua. Tapi, dalam aku cuba atau tidak, masa tetap berjalan. Ia tak pernah simpati pada aku, apatah lagi untuk peduli untuk berhenti sejenak. Ia tetap bergerak. Bergerak dalam kelajuan tersendirinya - tak cepat, dan tak juga lembap - melepasi aku, kau, dan kita semua. Aku tahu, segala aturan, pelan, rancangan, rencana - atau apa saja yang kita gelarkan - tak pernah tetap seperti yang kita mahukan. Sama seperti masa yang tak pernah mahu berhenti-bergerak mengikut kehendakku, aturan hidup juga sama: keduanya cuma bisa digerakkan oleh Tuhan. Jadi, aku berkata pada diri, "untuk seketika ini, biarlah hidup berjalan di atas landasannya, biarlah ia membawa kau ke haluannya, tapi aku akan tetap berlari mengejar kau dari belakang dalam upaya terhebatku; moga nanti ada kebetulan yang bisa bawa aku menyusup masuk ke dalam landasan hidup kau."
Enam
Dari semalam, aku menggeletar dalam takut. Takut untuk menghadapi hari ini. Kerana, hari ini, sepatutnya terjadi dua perkara. Yang pertama adalah peperiksaan akhir, dan yang kedua adalah kesudahan dari peperiksaan itu. Untuk soal pertama, aku fikir aku sudah lakukan yang terbaik. Jadi, tak ada sesal, atau apa-apa resah. Tugas aku tamat di situ, selebihnya aku lepaskan semua pada Tuhan. Yang ada dalam fikiran sekarang cuma soal yang kedua: kesudahan dari peperiksaan. Berangkat dari mula cerita tentang aku dan kau, hujungnya seperti menuju ke hari ini. Hari di mana kita tak ada lagi hal yang bisa diselarikan untuk dijalani. Memang ada perih dirasa bila hendak menerimanya, tapi aku yakinkan diri bahwa ini bukan yang hakiki. Di telinga, terngiang-ngiang petikan dari filem (500) Days of Summer. "There's no such thing as fate, nothing is meant to be." Sebodoh Tom Hansen yang percaya akan itu, aku rela menjadi bodoh untuk percaya sama. Bahwa semua ini bukan ditakdirkan terjadi, tapi cuma kebetulan. Kebetulan yang mana, aku bisa ubah lenturkan mengikut acuan aku.
Lima
Malam ini, aku dapat tahu beberapa perkara tentang kau. Satu, kau tak pernah bertunang, atau tak punya ikatan pertunangan. Dua, kau sukakan seseorang. Tiga, seseorang itu sukakan seseorang yang lain. Dan empat, seseorang itu pasti bukan aku. Mengetahui perkara-perkara ini membuat aku bernafas dengan penuh lega, tapi dalam sedikit kegelisahan. Lega kerana kau tak punya siapa-siapa secara ikatan, gelisah kerana kau punya seseorang secara diam. Mungkin sedikit pelik, kalau aku katakan, kegelisahan aku ini sebenarnya hanya dangkal, cetek. Tak sedalam yang aku jangkakan. Aku tak tahu apa mungkin kelegaan di awal tadi - mengetahui kau tak punya ikatan dengan siapa-siapa itu - yang menenggelamkan bibit gelisah yang baru nak timbul itu. Kalau betul itu yang menenggelamkannya, sesungguhnya aku merasa amat terkejut. Terkejut akan ketenangan diri aku, terkejut akan keyakinan diri aku, yang seolah-olah tak risau akan hal itu. Dan, itu adalah ironis, kerana aku sukakan kau. Ya, suka.
Empat
Padabila setiap kali aku baca nama kau, atau aku lihat gambar kau, aku akan rasa 'lain'. 'Lain' yang entah macam mana aku nak jelaskan. Ada rasa tak senang terhadap keadaan yang mana kita berdua berada. Seolahnya, aku mahu jeritkan pada kau, bagitahu bahwa aku tak boleh terus hidup sebegini. Aku perlukan satu solusi. Solusi yang nyata. Sebab, untuk menjadi seorang yang ada di bahagian tepi hidup kau tanpa mencelah masuk ke dalamnya, adalah satu perkara yang memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Dan, aku tak cukup sabar. Aku tahu aku adalah orang asing dalam hidup kau - ya, kau baru saja mengenali aku - tapi, kau mungkin tak tahu, bahwa kau telah lama hidup dalam diri aku. Secara senyap, secara diam, tanpa apa perasaan. Untuk kau tahu tentang itu, adalah mustahil kerana tak pernah wujud bicara antara kita. Malah, untuk aku sendiri tahu tentang itu, juga mustahil kerana aku tak pernah berharap apa-apa. Dan sekarang, aku cuma mahu agar kita punya sesuatu. Sesuatu yang bisa mempeluangkan kita untuk berbicara. Apa-apa saja.
Tiga
Sekali lagi, atas alasan nota, kita - aku dan kau - bertemu. Di tempat yang sama. Cuma, kali ini, untuk pulangkan kembali nota kau. Kau tahu tak, kalau boleh, mahu saja aku meminjam nota dari kau setiap hari? Hanya agar aku bisa lihat muka kau. Muka si budak kecil yang penuh naif. Suci dan comel. Tapi, aku perasan tadi, muka kau sedikit berubah bila aku menghadiahkan kau coklat sebagai tanda terima kasih. Aku tak tahu apa yang kau fikir ketika itu. Dan, aku tak mahu buat kau fikir yang bukan-bukan. Coklat itu, lebih baik, aku (dan kau) anggapkannya tiada apa-apa makna, selain tanda penghargaan aku kepada kau. Sebab aku tahu, kalau aku memaknakannya dalam bentuk harapan aku, itu mungkin akan buat kau serba salah. Dan, demi Tuhan, aku tak mahu itu. Tambah-tambah lagi, dalam masa genting seperti sekarang, tika kau sedang sibuk menghadap menelaah segala nota peperiksaan. Jadi, buat masa ini, biar saja aku di sini, kau di sana; biar saja kita hanyut dalam arus masa, dan biar saja kita lihat di mana kita nanti.
Dua
Malam semalam, aku bertemu kau. Di belakang kolej kau, di tepi tangki, kita berjumpa. Atas satu alasan: untuk meminjam nota. Dalam hati, aku rasa gembira bukan kepalang. Tapi, mungkin kau tak tahu itu. Malah, aku juga tak perlihatkan kegembiraan aku pada kau. Kita berjumpa sekejap saja. Amat, sangat, terlalu sekejap. Semata-mata atas alasan asalan: untuk meminjam nota. Tiada basa-basi dari aku atau kau. Yang ada hanyalah beberapa patah kata tentang nota yang kau bagi pinjam. Cuma, yang paling terkesan ialah momen bilamana kita mahu bergerak pulang ke arah berlainan, kau berpaling dan melambai, mengucap selamat tinggal dalam nada yang buat aku rasa gembira. Di saat itu, kalau bisa, aku mahu masa berhenti buat sementara. Biar aku nikmati rasa kesyurgaan itu lebih lama. Dan, bila arus masa mengalir kembali, aku lenyapkan segala. Aku lebih rela tak beranggapan apa-apa, apa lagi berharap apa-apa. Mungkin itu cuma sikap kau sebagai seorang perempuan yang baik. Dan comel.
Satu
Hari ini, aku bangun pada waktu yang kurang lebih seperti biasa. Agak lewat untuk memulakan hari, sebenarnya. Tapi aku tak kisah. Fikiran aku masih pada ingatan di malam semalam. Tentang komen yang aku tulis pada kau. Aku masih berasa serba salah. Walaupun, belum tahu sama ada kau sempat membacanya atau tidak, kerana aku telah memadamkannya. Aku serba salah bukan kerana merasa komen itu salah. Tak, langsung aku tak anggap komen itu salah. Cuma aku tak mahu orang lain yang membacanya, menganggap komen itu tak kena. Mungkin sedikit tak kena, tapi masih, ia tak salah. Tapi, kalau betulpun ianya tak kena, aku sendiri tak tahu di mana tak kenanya itu. Ah, mungkin bukan itu yang aku pedulikan. Mungkin yang aku betul-betul peduli adalah cuma kau. Pendapat kau. Perasaan kau, sebetulnya. Aku tak mahu kau rasa seperti diintip, diikuti aku. Sedang aku ini, sememangnya tak punya berani atau yakin diri untuk berhadap atau menegur kau secara terus terang. Yang aku mampu, hanyalah melihat perkembangan kau secara senyap-senyap dan sekadar memberi komen nasi tambah pada status yang kau tulis. Untung kalau kau perasankan aku ini, tapi aku sendiri tak berharap apa-apa. Aku cuma ingin tahu tentang kau. Sedikit saja, mungkin aku ada menaruh sedikit harapan. Sedikit saja.
Subscribe to:
Posts (Atom)